THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Ahad, 21 September 2008

Artikel : Keserasian Agama & Nilai Sosial

Artikel ni aku dapat melalui Jurnal AKTIVIS yang aku jumpa secara x sengaja dalam internet Ari 2... Isi2 dalam artikel ni sangat menarik disamping penulis menggunakan ayat2 tinggi yang bagi aku amat mempesonakan.. Mungkin agak panjang,tp kalo korang seorang pembaca yang "tegar", rasanya x de masalah kot.. So, ape2 pun Selamat membaca!!!!


Islam mempunyai nilai dan matlamat yang merangkumi bidang rohaniah dan lahiriah. Islamjuga mendalami aspek politik, ekonomi, kemasyarakatan, ketenteraaan dan lain-lain. Semua aspek-aspek yang dinyatakan saling melengkapi dan berkait erat dalam penyemaian nilai serta memenuhi hala tujuan berhubung dengan matlamat yang diredhai oleh Allah. Justeru, jiwa kemanusiaan tidak boleh dielakkan atau disisihkan daripada agama sewenang-wenangnya. Banyak syarat atau undang-undang negara atau pertubuhan dunia seperti Bangsa-Bangsa Bersatu telah dilakarkan atas dasar kemanusiaan, etika menepati kehendak pelbagai agama dunia.
Namun demikian, kemajuan sains dan teknologi telah melampaui kemanusiaan kerana mencabar kuasa Tuhan. Perkara ini dapat dibuktikan melalui isu pengklonan, penggunaan sel-sel serta organ untuk menghidupkan organ yang mati. Isu lain juga seperti menerajui eksperimentasi yang tidak ada batas disebabkan kepekaan dan kehausan manusia untuk mencari unsur alternatif kehidupan untuk generasi masa hadapan. Agama dan realiti memainkan peranan mengingati manusia mengenai kesilapan dan menyedarkan mereka melalui bencana alam seperti peperangan, kebakaran, kemusnahan ozon, gempa bumi yang kerap kali berlaku kerana pergerakan bumi dan perbuatan manusia yang mengingkari lumrahnya.
Pada waktu yang sama, agama tidak sesekali menyalahkan kemajuan serta peningkatan i1mu. Hal ini perlu dipraktikkan dengan landasan yang ditetapkan etika dan agama agar hasil pencarian ilmu dapat diraih serta diredhai Ilahi. Ilmu pengetahuan penting kerana ia merupakan simbol kekuatan hari ini. Simbol ini menjadi alat kemajuan yang sudah menguasai dunia termasuk umat Islam sendiri. Umat Islam kalah dengan dunia Barat kerana berpendapat dan berfikiran sempit serta memendam tanggapan negatif terhadap kemodenan. Globalisasi dan kemajuan teknologi dan sains pada masa kini telah mematangkan manusia tentang realiti atau hakikat kehidupan.
Sewaktu zaman pembangunan industri, manusia pernah riak dan melupakan Tuhan apabila teknologi dan kuasa berada di dalam tangan. Natijah-natijah pembangunan industri seperti bencana nuklear dalam Peperangan Dunia Kedua serta letupan Chernobyl di Rusia telah menggegarkan dan menyedarkan dunia. Manusia meraih ilmu dan pengalaman menerusi kesusahan yang dilalui atas kesalahan mereka sendiri. Zaman moden yang besar kemungkinan memasuki zaman nanoteknologi mementingkan dan mengutamakan penyebaran maklumat. Wadah yang digunakan media massa seperti internet, radio dan televisyen menjadi kegunaan manusia tiap-tiap hari.Dasar-dasar Islam yang menepati konsep penyebaran maklumat masa kini ada lima:
Adl' (Keadilan)
llm' (I1mu pengetahuan)
'Ibadah (Pekerjaan)
Khalifah (Pucuk pimpinan)
Waqf (Wakaf)
Keadilan merupakan satu perkara yang meliputi semua golongan. lanya dapat ditegakkan dengan penguasaan ilmu. I1mu pengetahuan merentasi semua jenis disiplin khususnya dimensi pengetahuan manusia dan seluruh spektrum alamiah. Hakikat membuktikan bahawa keadilan merupakan satu bentuk penyebaran yang tidak boleh dinafikan. Istilah 'poetic justice' wujud apabila manusia menulis karya-karya epik pada zaman dahulu. Cerita-cerita tentang kenabian dan pedoman untuk umat Islam bersikap menuntut keadilan juga. Kezaliman Raja Firaun, Qarun, Raja Namrud, Kaum Ad', Kaum Luth dan Bani Israel dibedil dengan kemurkaan, kuasa Tuhan dan mukjizat para utusannya dahulu.
Pada zaman sekarang, kemungkinan besar keadilan tidak semestinya berlaku kerana isu-isu kompleks yang dijanakan arus globalisasi seperti tuduhan saman malu dan tuduhan berunsur fitnah yang diajukan di mahkamah. Namun demikian, Tuhan telah berjanji bahawasanya orang yang ingkar, munafik dan syirik akan mendapat balasan setimpal di akhirat kelak. Keadilan pada masa sekarang tetap berlaku. Persamaan ini boleh didapati dalam usaha penyebaran ilmu. Timbul isu cetak rompak dan virus Trojan yang menghambat banyak usaha menjalankan tugas penyebaran maklumat merupakan kegagalan mengawal ruangan siber dan teknologi canggih bagi syarikatyang memonopolikan pasaran dunia seperti Microsoft dan McDonalds.
Selain menyentuh tentang keadilan dalam konsep penyebaran ilmu maklumat, ibadah memainkan peranan penting dalam penyebaran maklumat. Ibadah dalam erti kata merujuk kepada pekerjaan yang dilakukan. Konsep ibadah bukan sahaja menumpukan kepada solat lima waktu dan sunnah malah meliputi semua aspek pekerjaan seharian dan niat kepada Ilahi tetap disemai dalam setiap gerak-geri yang dilakukan. Justeru, ibadah bersifat distributif seperti teknologi maklumat.
Khalifah juga diperlukan untuk mencorak dan menentukan masa hadapan melalui pentadbirannya.Pucuk pimpinan merupakan satu faktor yang terpenting sekali dalam usaha penyebaran maklumat kini berteraskan etika dan adab Islam. Daripada pucuk pimpinan manusia, tumbuh angka pengikut serta persahabatannya bersama beberapa intelek dan usahawan. Ini mengukuhkan rangkaian penyebaran maklumat yang diterima individu berpengaruh yang dikatakan khalifah lalu menjayakan penglibatan masyarakat dalam agenda utamanya iaitu membentuk masyarakat rabbani. Kesan tali arus amat penting dan digalakkan Islam serta kemahuan dunia untuk terus berkembang menyiarkan kebaikan. Penubuhan yang kukuh sedemikian akan menghapuskan segala khurafat, syak wasangka, penyelewengan, penyalah gunaan kuasa dan segala gejala sosial yangmengancam keharmonian masyarakat.
Wakaf pula merupakan aset yang tidak ternilai bagi orang Islam serta masyarakat am secara keseluruhan. Konsep wakaf ini juga wujud dalam masyarakat Cina dan lain. Masjid-masjidhari ini tersergam indah dengan kubah-kubah dan reka bentuk serba moden, Namun demikian, pengisian di dalam masjid ini amat berkurangan daripada sudut aktiviti untuk menjalinkan keakraban dan kekuatan jemaah. Kekuatan jemaah diperlukan untuk memimpin para belia masa kini untuk mengukuhkan potensi untuk berjaya dan kembali menjadi peneraju masyarakat dalam pelbagai bidang. Kepelbagaian itu amat perlu dalam aktiviti masjid agar jemaah tidak mudah hilang perhatian dan minat mereka terhadap masjid.
Solat merupakan tiang seri Islam. Orang Islam yang tidak bersolat akan kehilangan tiang seri ini serta jati dirinya sebagai orang islam. Solat merupakan asas dalam adab kita kepada Allah s. w.t. Justeru, seseorang yang baru memeluk Islam digalakkan bersolat secara mudah seperti mengangkat takbir, membaca Al-Fatihah, berdiri rukuk, sujud dan duduk bertasyahud dan memberi salam. Dalam solat, seseorang itu pasrah kepada Allah s.w.t, terutama ketika bersujud. Daripada erti 'sujud' ini, datang makna 'masjid'. Masjid lambang wakaf yang menjadikan unsur penyebaran maklumat yang berkesan dalam agama Islam. Jawatankuasa masjid perlu mengambil kesempatan yang diberikan pemerintah untuk memanfaatkan umat Islam terutama sekali masyarakat Melayu yang senantiasa hanyut dengan gejala sosial dari masa ke semasa.
Penyebaran maklumat perlu disebarkan menerusi lima jalur ini. Usaha sedemikian akan mencerminkan imej yang positif bagi masyarakat Islam dalam usaha peningkatan ilmu dan pengukuhan jati diri. Perbuatan sedemikian akan menggabungkan usaha orang Melayu secara tidak langsung. Justeru, pembinaan berlandaskan lima faktor dalam melengkapi masyarakat dengan ilmu pengetahuan akan mengembalikan masyarakat kepada aliran nasional yakni menyumbang kepada kemajuan negara. Islam sememangnya menyokong kemajuan dan konsep terbuka dalam agama perlu, bagi peningkatan dan penakatan orang Melayu masa kini.
Kita boleh perhatikan dalam pelbagai agama yang mengajarkan umatnya supaya berdiri tegak,ada pula yang rukuk dan ada pula yang sujud. Namun demikian, tiada yang lebih teratur dan indah secara gerak laku batin zahir selain solat seorang Muslim yang kukuh dengan pendirian islam di samping berusaha untuk meningkatkan ilmu dan menggalakkan masyarakatnya untuk maju dalam arus globalisasi yang menyulitkan.

Fariz Husna Bin Sajani
AKTIVIS
Jurnal Akademik Persatuan Budaya Melayu Institut Pendidikan Nasional Kampus TownsvilleJilid V, 2005

0 ulasan: