THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Ahad, 12 Oktober 2008

P.Ramlee : Illusi, Mimpi Atau Realiti?


Seorang insan seni yang aku rasakan cukup ajaib dan mengagumkan... Kehebatannya yang setanding Hokage ke-4 membuatkan pencapaiannya melangkaui zaman.. mungkin x perlu aku aku nak bagitau korang siapa beliau kerana mungkin korang pun dah tahu.. Sekadar nak menunjukkan betapa admire nye aku kat beliau, jadi dengan segala sukacitanya aku mempersembahkan kat korang untuk ditatap, dibaca dan dikenang.... " BIOGRAFI SENIMAN AGUNG P.RAMLEE".....

Nama sebenar P. Ramlee ialah Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh, dan beliau dilahirkan di Pulau Pinang pada hari Rabu 22 Mac 1929 tepat pada pagi Hari Raya Aidil Fitri. Bapanya, Teuku Nyak Puteh merupakan seorang ahli pelayaran yang berasal dari Lho' Seumawe, Aceh yang telah berkahwin dengan Che Mah Hussin pada 1925 di Kubang Buaya, Butterworth. Teuku Zakaria mendapat didikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan kemudian ke sekolah Francis Light hingga darjah lima. Seterusnya Teuku Zakaria meneruskan pelajarannya ke Penang Free School. Dari kecil lagi Teuku Zakaria lebih cenderung kearah nyanyian dan lakonan; dengan demikian mengabaikan pelajarannya.
Semasa Pendudukan Jepun, Teuku Zakaria pernah bertugas sebagai budak pejabat (peon) di sebuah kilang timah, dan kemudian memasuki sekolah tentera laut Jepun (Kaigun). Di sini Teuku Zakaria berpeluang mempelajari lagu-lagu Jepun selain berdamping rapat dengan anggota tentera laut Jepun. Setelah tamat Perang Dunia Kedua, Teuku Zakaria meneruskan pelajaran di Penang Free School hingga ke darjah tujuh sahaja.
Minat Teuku Zakaria dalam bidang seni suara dan seni muzik mendorong beliau untuk bergiat dalam pancaragam 'Sinaran Bintang Sore' dan 'Teruna Sekampung' di samping mempelajari muzik dengan Encik Kamaruddin, seorang guru muzik yang terkenal. Dalam 1945 Teuku Zakaria mencuba bakatnya dalam peraduan menyanyi anjuran Radio Pulau Pinang khusus untuk Utara Malaya. Teuku Zakaria berjaya menggondol tempat ketiga dalam pertandingan Radio Pulau Pinang itu.
Pada tahun berikut Teuku Zakaria sekali lagi menyertai pertandingan Radio Pulau Pinang dan kedudukannya meningkat lagi - nombor dua; dan dalam 1947 Teuku Zakaria telah menyandang kejohanan peraduan tersebut. Pada masa menjadi calon peraduan menyanyi di Pulau Pinang itulah Teuku Zakaria menggunakan huruf 'P' (huruf potongan nama bapanya) di awal namanya. Nama inilah sehingga kini yang menjadi satu lagenda dalam dunia hiburan di alam Melayu.
Pada akhir Mei dan awal Jun 1948 satu Pesta Pertanian Ria telah berlangsung di Bukit Mertajam, dan pada 1 Jun P. Ramlee telah diundang untuk memeriahkan pesta tersebut dan beliau telah mengalunkan sebuah lagu ciptaan sendiri berjudul 'Azizah'. Kebetulan B.S. Rajhans, seorang pengarah filem dari Shaw Brothers, Singapura sedang mencari-cari bakat baru lalu setelah mendengar persembahan P. Ramlee itu beliau pun ditawarkan menjadi penyanyi latar di dalam filem-filem arahannya.
Pada 8 Ogos 1948, P. Ramlee pun berlepas dengan keretapi ke Singapura di mana Studio Malay Film Productions di Jalan Ampas menjadi tapak semaian bakatnya dalam bidang seni lakon dan seni suara berkembang.
Filem lakonan P. Ramlee yang pertama ialah Cinta (1948) dalam mana beliau diberi peranan sebagai penjahat. Oleh kerana minatnya dalam seni filem, P. Ramlee sanggup membuat apa saja kerja termasuk menjadi 'clapper boy', pembantu jurukamera, menjaga 'continuity' selain menyanyi sebagai penyanyi latar. P. Ramlee juga sanggup melakonkan berbagai watak termasuk berlawak jenaka dengan D. Harris dalam filem-filem Nur Asmara dan Nasib dan menjadi penjahat dalam filem filem Nilam dan Racun Dunia. P. Ramlee mula-mula memegang peranan wira (hero) dalam filem Bakti di samping Kasma Booty. P. Ramlee adalah bintang filem pertama yang boleh menyanyi tanpa menggunakan penyanyi latar. Semasa pembikinan filem Bakti inilah P. Ramlee mendirikan rumahtangga dengan Junaidah anak pelawak D. Harris.
Dengan selesainya filem 'Takdir Illahi' maka berakhirlah kontrek P. Ramlee dengan studio Malay Film Productions (MFP) tetapi disambung semula apabila P. Ramlee sanggup berlakon dalam filem Penghidupan. Sejak itu P. Ramlee pun banyak memegang peranan utama, dan di antara filem-filemnya sebelum 1955 adalah: Sejoli, Juita, Antara Senyum dan Tangis, Patah Hati, Anjuran Nasib, Putus Harapan, Miskin, Sedarah, Ibu, Hujan Panas, Siapa Salah, Perjodohan, Panggilan Pulau, 'Merana' dan 'Abu Hassan Pencuri'. Dengan filem 'Abu Hassan Pencuri' itu kontreknya dengan Studio Jalan Ampas berakhir buat kali yang kedua. Dalam filem-filem tersebut P. Ramlee telah diserahkan berbagai peranan, dan P. Ramlee berjaya memperlihatkan kecekapan menghidupkan sebarang watak lakonan yang diserahkan kepada beliau oleh pengarah-pengarah seperti B.N. Rao, K.M. Basker, L.Krishnan, S. Ramanathan dan B.S. Rajhans.
Sebagai seorang yang dahagakan pengetahuan dan kejayaan, P. Ramlee terpengaruh dengan karya pengarah-pengarah asing seperti Akira Kurosawa dari Jepun dan Satyajit Ray dari India. Filem Hang Tuah (1955) arahan Phani Majumdar, adalah filem terakhir P. Ramlee berlakon sebelum P. Ramlee menjadi pengarah dan filem ini juga berjaya meletakkan P. Ramlee sebagai Penggubah Lagu Terbaik di seluruh Asia dalam Asian Film Festival di Hong Kong pada bulan Jun 1956.
Dalam tahun pembikinan filem itu iaitu pada 6 Februari 1955 P. Ramlee telah berkahwin dengan Norizan bekas isteri Sultan Perak pada masa itu. Tahun 1955 adalah juga tahun bersejarah buat P. Ramlee dan peningkatan mutu filem-filem Melayu kerana dalam tahun itu juga P. Ramlee telah mengarah filemnya yang pertama iaitu Penarik Beca. Filem ini telah terpilih sebagai filem terbaik seluruh Tanah Melayu pada tahun 1956 semasa majalah Utusan Filem dan Sport mengadakan pemilihan seniman, seniwati dan filem terbaik bagi tahun tersebut. Majalah ini juga memilih 'Inang Baru' sebagai lagu terbaik bagi tahun 1955.
Dalam 1956, P. Ramlee telah mengarahkan filemnya yang kedua, Semerah Padi yang bukan saja banyak 'trick-short' teknik penggambaran dan drama tetapi penuh dengan unsur-unsur budaya dan agama yang menyebabkan filem ini dianggap sebuah filem yang besar oleh beberapa orang pakar filem. Berbagai pembaharuan telah dilakukan dalam filem ini dari segi teknik, arahan dan seni lakon. Selain itu para bintang juga terdiri daripada barisan pelakon yang terhandal pada masa itu: Nordin Ahmad, Saadiah, A. Rahim, Daeng Idris, Normadiah dan banyak lagi.
Pada tahun 1957 P. Ramlee mengarah filem-filem Panca Delima dan Bujang Lapuk. Dalam tahun ini juga P. Ramlee dianugerah award Pelakon Lelaki Terbalk di Pesta Filem Asia, Tokyo kerana peranannya yang bermutu sebagai bapa dan anak di dalam filem Anakku Sazali arahan Phani Majumdar.
Dalam tahun berikutnya P. Ramlee menghasilkan Sumpah Orang Minyak yang telah memenangi Award Fotografi Hitam Putih Terbaik di Pesta Filem Asia. Lakonan P. Ramlee dalam filem Sarjan Hassan arahan Lamberto Avellana telah membawa kesan moral yang mendalam kepada askar-askar tempatan dan dengan itu P. Ramlee diberi penghormatan oleh Askar Melayu dengan gelaran 'Sargeant Titular'. Dalam 1959, filem P. Ramlee Pendekar. Bujang Lapuk telah dipilih sebagal filem Komedi Terbaik di Pesta Filem Asia di Kuala Lumpur.
Dalam tahun itu juga P. Ramlee menghasilkan dua filem komedi, laitu Musang Berjanggut dan Nujumm Pak Belalang, dalam mana P. Ramlee memaparkan kelemahan masyarakat. Filem Nujum Pak Belalang telah memenangi award Filem Komedi Terbaik bagi tahun 1960. Filem Antara Dua Darjat (1960) dianggap satu filem kritikan sosial yang bernilai. Ali Baba Bujang Lapuk dan Seniman Bujang Lapuk adalah dua buah filem komedi yang terdapat padanya beberapa sindiran tajam. Dalam 1961 P. Ramlee telah berpisah dengan Norizan dan mengahwini Salmah Ismail, penyanyi yang terkenal dengan nama Saloma. Biduanita inilah satu-satunya teman hidup yang cocok baginya.
Tahun 1962 merupakan tahun bersejarah bagi P. Ramlee sebagai pengarah, pelakon, pencipta lagu dan penyanyi kerana beliau telah dikurniakan bintang 'Ahli Mangku Negara' (AMN) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ketiga. Dalam tahun itu juga P. Ramlee menghasilkan Labu Labi diikuti dengan Nasib Si Labu Labi pada tahun berikutnya. Kemuncak karya cemerlang P. Ramlee tentulah semasa beliau memenangi award khas 'The Most Versatile Talent' di Pesta Filem Asia 1963 di Tokyo bagi filem Ibu Mertuaku. Dalam 1964 P. Ramlee menghasilkan dua lagi filem komedi, 'Tiga Abdul' dan 'Madu Tiga'. Sekali lagi anugerah filem Komedi Terbaik dimenangi oleh P. Ramlee dengan filem 'Madu Tiga'.
Dalam 1964 P. Ramlee berhijrah ke Kuala Lumpur dan bertugas di Studio Merdeka di Ulu Kelang. Dalam masa sembilan tahun di Studio itu beliau berjaya mengeluarkan sebanyak 18 buah filem. Ada di antaranya yang mendapat sambutan dan ada yang tidak. Di antara filem-filem yang dihasilkan di antara 1964 dan 1972 ialah: Si Tora, Ragam P. Ramlee, Masam-masam Manis, Sabaruddin Tukang Kasut, Do Re Mi, Nasib Do Re Mi, Sesudah Subuh, Keluarga 69, Anak Bapak, Gerimis, Enam Jahanam, Ahmad Albab, Kancan Tirana, Doktor Rushdi, Gelora, Putus Sudah Kasih Sayang, Jangan Tinggal Daku, dan filemnya yang terakhir Laksamana Do Re Mi.
Selari dengan karyanya sebagai pelakon dan pengarah filem P. Ramlee mencipta dan menyanyikan lagu-lagunya untuk filem-filem yang dihasilkannya iaitu sebanyak 60 buah kesemuanya. Dalam proses penciptaan lagu, P. Ramlee banyak bergantung kepada rakan-rakannya untuk lirik lagu. Di antara yang paling banyak membantunya ialah S. Sudarmaji dan Jamil Sulong termasuk H.M. Rohaizad, Ainol Jamal dan lain-lain. P. Ramlee belajar penyusunan muzik daripada Osman Ahmad dan Yusof B. Tidak diketahui dengan tepat berapakah jumlah lagu ciptaan P. Ramlee ; tetapi yang nyata dikenali ramai adalah kira-kira 250 buah lagu.
P. Ramlee, kepada rakan-rakan sejawat dan seperjuangan adalah pemimpin dari beberapa hal: P. Ramlee giat dalam persatuan seperti PERSAMA (Persatuan Artis-artis Malaya), kumpulan muzik PANCA SITARA, pasukan badminton dan sepak takraw (SEKAWAN BINTANG dan SANGGA BUANA) dan agama. P. Ramlee juga merupakan pembela kaum seniman di Jalan Ampas dalam mendapatkan taraf dan ganjaran yang lebih wajar.
P. Ramlee juga cuba menduga nasib dalam bidang perniagaan. P. Ramlee dan beberapa orang rakan pernah menerbitkan majalah hiburan seperti Bintang dan kemudiannya majalah Gelanggang Filem atas nama Penerbitan P. Ramlee. P. Ramlee juga pernah menubuhkan dengan rakan-rakannya syarikat-syarikat filem seperti PERFIMA (Perusahaan Filem Malaysia) dan SAZARA Filem Company tetapi kesemua usaha perniagaannya (termasuk kedai mahjong) akhirnya menemui kerugian dan terus gagal.
Walaupun TV sudah ada sejak 1964 namun P. Ramlee hanya berlakon dalam dua drama TV iaitu dalam Rantau Selamat dan Intan, kedua-duanya karya Abdullah Hussain. P. Ramlee jarang-jarang sekali dibawa berpolemik, baik di Radio, TV atau di forum akademik. Forum paling penting yang dihadirinya ialah Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga di Singapura dan di Johor Bahru dalam tahun 1956, dan Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dalam tahun 1971. Kertas kerjanya (hanya dua halaman) berjudul 'Cara-cara Meninggikan Mutu dan Memperkayakan Muzik Jenis Asli dan Tradisional Malaysia Demi Kepentingan Negara'. P. Ramlee, anehnya, tidak pernah mengunjungi dunia luar selain Indonesia, Hong Kong, Manila dan Tokyo walaupun peluang diberi oleh Shaw Brothers sejak kejayaan filem Penarik Beca dulu.

Kini P. Ramlee sudah tiada. Dia melangkah ke ambang perfileman dengan Cinta dan dengan cintanya kepada genre senilakon itulah maka dia mencapai pangkat tertinggi sebagai pejuang seninya - sebagai seorang Laksamana - disimbolkan dengan filem terakhirnya Laksamana Do Re Mi. Begitu juga dengan cintanya kepada senilagu yang disimbolkan dengan lagu Azizah sehingga berakhir irama dan lagu dengan Air Mata di Kuala Lumpur di mana beliau kini dikuburkan.

1 ulasan:

~KimiE~ berkata...

walaupon rupamu tidak ku kenal,,,
tetapi lobang hidung mu tetap menjadi pojaan hati Pak Usop..